The Red Giants

EN
MY
Selangor FC
SELANGOR FC
BERITA

Ifedayo, Danial Paling Cemerlang Di ABK20

Dec 30, 2020 - FAS

Selangor FC mengucapkan tahniah kepada dua pemain Gergasi Merah yang menerima anugerah sewaktu majlis Anugerah Bolasepak Kebangsaan 2020 (ABK20) yang baru sahaja berlangsung sebentar tadi. Mereka adalah;

 1. Ifedayo Olusegun - Penjaring Terbanyak CIMB Liga Super & Kasut Emas
 2. Danial Asri - Penjaring Terbanyak Tempatan Liga Premier

Majlis ABK20 bermula dengan penyampaian anugerah dengan kategori Penjaring Terbanyak Tempatan Liga Premier yang disandang oleh Danial Asri pemain dari pasukan Selangor 2.

Danial merupakan satu-satunya pemain tempatan yang menempah nama dalam 5 penjaring terbaik Liga Premier dengan tujuh gol. Penghargaan ini juga menjadikan Danial yang baru berumur 20 tahun sebagai penerima anugerah termuda pada malam tersebut.

Beliau merupakan pemain pembangunan pasukan Belia Selangor 2018 hingga 2019 dan musim 2020 merupakan tahun pertamanya dalam liga profesional Malaysia.

“Saya tak jangka saya boleh menjadi penjaring tempatan terbanyak musim ini namun saya sangat berbangga dengan pencapaian musim pertama saya dalam liga profesional Malaysia,” jelas Danial.

“Terima kasih kepada mereka yang terlibat dalam kejayaan saya hari ini. Anugerah ini juga untuk mereka semua,” tambah Danial setelah dinobatkan sebagai Penjaring Terbanyak Tempatan Liga Premier.

Selain Danial, seorang lagi penyerang Gergasi Merah, Ifedayo Olusegun juga telah memenangi Penjaring Terbanyak Liga Super dan menerima anugerah Kasut Emas.

Penyerang kelahiran Nigeria ini telah meledakkan hatrik dalam perlawanan terakhir Selangor musim ini ketika menentang Felda United dan telah menjaringkan 12 gol dalam tujuh perlawanan musim 2020.

Ifedayo menzahirkan rasa syukur dan berterima kasih kepada semua yang terlibat. Kejayaan ini juga menyaksikan beliau mengulangi kejayaan yang dimenangi oleh seorang lagi penyerang Selangor, Rufino Segovia untuk musim 2018.

“Syukur kepada Tuhan atas pencapaian yang diberikan. Saya juga ingin berterima kasih kepada semua yang membantu saya di SFC termasuk pemain, anggota kru teknikal, pengurusan, pekerja, dan peminat,” kata Ifedayo selepas disahkan menjadi pemenang Penjaring terbanyak Liga Super dan Kasut Emas ABK20.

Selangor FC sangat berbangga dengan pencapaian Ifedayo Olusegun, Danial Asri dan semua pemain Gergasi Merah yang lain bagi musim 2020. Tahniah kami ucapkan. Perjuangan akan diteruskan untuk tahun 2021.

Demi kebanggaan!